Saturday, May 27, 2006

HARI KHAS IKTIRAF PELAJAR - Ali Bukhari

Oleh;
Ali Bukhori Amir


BARU-baru ini, Iqbal Hafiedz Ahmed Bazari telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik Asia. Sekalung tahniah kepada beliau. Hakikat ini setidak-tidaknya membuktikan bahawa pelajar Melayu dapat mengalirkan idea-idea setanding dengan pelajar di negara lain.

Rahsia pendidikan sebenar tergantung kepada sejauh mana penghormatan yang diberikan kepada kaum pelajar di negara kita. Walaupun laporan negatif ke atas pelajar tetap disajikan seperti aksi membuli tetapi masyarakat perlu menghormati para pelajar yang bakal mencorakkan masa depan negara.


Sama ada laporan mengenai kelompok pelajar itu bersifat positif atau negatif, mengiktiraf peranan mereka adalah satu keutamaan mutlak seperti yang dirumuskan oleh Ralph W. Emerson. Ini kerana, dalam pandangan Islam, insan diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Dan persekitaranlah yang mencorakkan segala-galanya, bergantung kepada kekuatan rohani insan itu sendiri.

Meniti pandangan Melayu pula, kita akan terserempak dengan pantun: “Pilih-pilih tempat mandi, esa telok kedua pantai, pilih-pilih tempat menjadi, esa elok kedua pandai”. Ertinya, dasar pendidikan dalam pandangan Melayu telah meletakkan asas yang kukuh lagi mulia. Asas tersebut ialah akhlak dan intelektual. Rangkuman kedua-dua asas inlah yang bakal melahirkan ‘bangsa penghulu’ seperti sambungan pantun yang pertama tadi.

“Esa elok kedua pantai, ketiga dengan jamban di hulu, esa elok kedua pandai, ketiga baik ‘bangsa penghulu’.”

Ertinya, cita-cita besar umat Melayu pada asalnya ialah mereka mahu memperkasakan ilmu dengan sistem pendidikan yang teratur dan tersusun.

Hanya dengan pendidikan yang menggabungkan ciri akhlak dan kebijaksanaan bertindak, berucap dan berfikir, bangsa Melayu mampu menjadi pemimpin di pentas dunia, demikianlah menurut pantun di atas. Setidak-tidaknya, dalam kes Iqbal dan contoh pelajar Melayu lain, kemampuan pelajar kita beraksi sebagai pemimpin pendapat di usia muda bukan impian kosong.

Pemimpin pendapat dalam kalangan generasi muda Melayu pernah hadir dalam rakaman lipatan sejarah untuk membantu kuasa istana mendepani ancaman todak di Singapura. Kita tidak boleh mengambil sikap ‘susu dibalas tuba’ dan jangan sesekali membiarkan hal yang sama berulang lagi.

Mungkin, kita perlu meneliti aspek lain dalam usaha menarik minat anak muda ke arah pembangunan negara. Selain acara-acara yang diatur oleh kerajaan seperti Rakan Muda, ada juga kecenderungan parti politik dalam usaha mendekati remaja melalui penubuhan Putera UMNO dan Puteri UMNO.

Tanpa prejudis sekali gus menolak sentimen kepartian, kita melihat langkah seperti ini adalah baik untuk meningkatkan moral pelajar. Ini kerana, melalui acara itu, mereka berasa lebih dihormati dan diperlukan. Keupayaan mereka selama ini diiktiraf oleh kerajaan. Hal ini sama juga dengan pergerakan belia cuma belia mempunyai hari istimewa untuk mengiktiraf kumpulan mereka. Kaum buruh juga, selain menyumbangkan tenaga kepada negara, kerajaan mengiktiraf sumbangan mereka melalui peruntukan tarikh 1 Mei.

Guru-guru yang telah menyumbang khidmat bakti hingga ke daerah pedalaman, akhirnya telah diiktiraf sumbangannya secara rasmi pada setiap 16 Mei. Apa yang tiada di negara kita kini ialah Hari Pelajar.

Namun, secara tidak sedar, kita juga pernah mengiktiraf jasa kaum pelajar. Jika tidak, mengapa kita mewujudkan Pingat Hang Tuah kepada kanak-kanak yang mempamerkan rekod cemerlang seperti membantu orang dalam kesusahan. Pun begitu, mengapakah tiada Hari Pelajar?

Jika dinilai daripada sudut estetika, maka amatlah sesuai jika Hari Pelajar itu diraikan pada 31 Mei, iaitu 15 hari selepas Hari Guru. Naluri anak-anak sentiasa suka apabila ibu bapa memuji kebolehan mereka dalam setiap bidang yang diceburi. Kalau tidak mulakan sekarang, bila lagi?

Selain itu, bukankah para teknokrat, profesional, guru, pensyarah sehingga pemimpin negara sekalipun, dahulunya adalah golongan pelajar?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home