Sunday, May 14, 2006

LETAK JAWATAN: SHAHRIR SILAP LANGKAH


Oleh: Lee Ban Chen

Dalam kekecewaan dan tanpa berfikir panjang, Datuk Shahrir Abdul Samad, telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BBC) selepas tindakannya menyokong usul pembangkang demi mempertahankan integriti Parlimen, tidak disokong oleh ahli BBC yang lain.

Dan empat hari kemudiannya, beliau menyatakan kesediaan untuk mengakuri keputusan Jawatankuasa BBC yang berura-ura hendak mengekalkan jawatannya sebagai pengerusi Kelab tersebut dalam mesyuarat yang dijadualkan pada 9 Mei 2006. Nampaknya, selepas meletak jawatan, beliau berada dalam kedudukan yang amat pasif sekali. Pertama, apabila mengumumkan peletakan jawatan, beliau telah menegaskan bahawa ia bukan soal kecewa atau tidak, tetapi melibatkan soal prinsip. Jika rakan-rakan lain tidak bersetuju dengan prinsip kepimpinan, beliau kena tarik diri. Kedua, beliau telah menemui Ketua Whip Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengaku telah melanggar arahan BN kerana menyokong usul pembangkang.

Oleh itu, beliau rela meletakkan jawatan sebelum dikenakan tindakan disiplin. Dan peletakan jawatannya telah diterima oleh Najib. Tetapi Shahrir kemudiannya menelan semula kata-katanya sekarang apabila berpendapat dia tidak perlu mengekalkan keputusannya kerana pemilihan pengerusi BBC dilakukan oleh ahli kelab terbabit dan bukannya Ketua Whip BN. Jika demikian halnya, apa perlu beliau menemui Najib dan mengulangi pendiriannya untuk meletak jawatan sebagai pengerusi BBC? Adakah beliau sangka Najib akan memujuknya supaya menarik balik peletakan jawatannya?

Tidak perlu dipujuk


Yang menutup terus peluang beliau untuk kembali menyandang jawatan pengerusi BBC ialah sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menganggap Shahrir tidak perlu dipujuk kerana ahli Parlimen Johor Bahru itu sendiri yang meletak jawatan dan tidak mahu lagi menjadi pengerusi BBC. Abdullah juga menegaskan bahawa tindakan Najib menerima peletakan jawatan Shahrir adalah tepat.

Ini bermakna bukan sahaja Najib, malah Perdana Menteri juga menerima peletakan jawatan Shahrir, menjadikannya sebagai suatu hakikat yang tidak dapat diubah lagi! Malah, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada malam 8 Mei 2006, Perdana Menteri telah meminta ahli Parlimen kerajaan supaya bertindak selari dengan kehendak parti. Ekoran itu, mesyuarat BBC untuk memilih semula Shahrir terpaksa dibatalkan! Ditinjau kembali keberanian Shahrir dalam menyokong usul pembangkang demi mempertahankan integriti Parlimen, tidak perlu dipertikaikan.

Namun, beliau mungkin telah tersalah langkah dalam beberapa aspek. Sepatutnya beliau tahu keputusannya menyokong usul pembangkang yang melanggar amalan BN selama ini sukar diterima oleh ahli BBC lain yang biasanya tidak mahu mengambil risiko dikenakan tindakan disiplin oleh parti. Jika beliau benar-benar yakin tindakannya menyokong usul pembangkang itu tidak bersalah dan merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromikan, maka beliau patut bersedia untuk menghadapi segala akibatnya.

Timbulkan kesedaran

Sepatutnya Shahrir tidak meletak jawatan sebagai pengerusi BBC, sebaliknya menuntut dilakukan reformasi Parlimen seperti meminta ahli Parlimen BN dibenarkan mengundi mengikut suara hati sendiri demi menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. Beliau sepatutnya memperjuangkan kepercayaan bahawa ahli Parlimen mempunyai kewajipan kepada pengundi, Parlimen dan negara, di samping kewajipan mematuhi arahan Ketua Whip untuk mengundi mengikut apa yang diputuskan parti dalam isu penting, antaranya undang-undang, kewangan, undi tidak percaya dan pembacaan kali kedua rang undang-undang.

Jika Shahrir berjaya mendapatkan sokongan kebanyakan ahli BBC berhubung cadangan reformasi itu dan tegas dengan pendiriannya, maka beliau akan berada di pihak yang benar demi reformasi Parlimen. Dalam keadaan ini, rasanya Majlis Tertinggi Umno akan lebih sukar dan terpencil jika ia berkeras hendak mengambil tindakan disiplin terhadap Shahrir, kerana beliau telah mendapat sokongan BBC dan pendapat umum dalam reformasi Parlimen demi integrasi dan fungsi Parlimen yang lebih unggul dan demokratik. Nampaknya BBC akan kehilangan Shahrir sebagai pengerusinya yang berpinsip tetapi kurang berfikir panjang sebelum bertindak.

Moga-moga pengorbannya tidak sia-sia saja, kerana lebih ramai rakyat amnya dan ahli Parlimen khasnya telah menginsafi amalan ahli Parlimen BN dilarang menyokong usul pembangkang adalah tidak munasabah dan tidak menguntungkan rakyat dan negara pada keseluruhannya!

LEE BAN CHEN, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home